
Pentaksiran, lembaran kerja dan aktiviti
Enam teknik prompt lanjutan, aras Bloom, rubrik dan semakan kualiti 3S.
SelesaiTeknik 1: Suruh Gemini menyoal anda dahulu
Teknik paling berkesan dan paling kurang digunakan. Daripada memberi arahan panjang, minta Gemini mengumpul maklumat daripada anda dahulu.
Saya mahu membina satu ujian formatif untuk Tingkatan 4. Sebelum anda menjana apa-apa, tanya saya 5 soalan untuk memahami konteks kelas, topik dan tahap murid saya. Tunggu jawapan saya sebelum meneruskan.
Teknik 2: Beri rubrik atau standard dahulu
Tampal DSKP, standard pembelajaran atau rubrik sedia ada, kemudian barulah minta bahan dijana. Output akan jauh lebih terikat kepada kurikulum.
Berikut ialah standard pembelajaran KSSM bagi topik ini: [tampal] Berikut ialah rubrik sekolah saya: [tampal] Berdasarkan KEDUA-DUA dokumen di atas sahaja, bina 6 item pentaksiran dan nyatakan standard pembelajaran mana yang diukur oleh setiap item.
Teknik 3: Prompt berlapis
Jangan minta semuanya sekali gus. Bina berperingkat supaya anda boleh membetulkan arah:
- “Senaraikan 8 konsep utama topik ini mengikut urutan pengajaran.”
- “Untuk konsep 3 dan 5, senaraikan salah faham lazim murid.”
- “Bina 2 item pentaksiran bagi setiap salah faham tadi, dengan pengganggu yang mencerminkan salah faham itu.”
- “Tukarkan item tadi kepada lembaran kerja dengan ruang jawapan.”
Teknik 4: Tunjuk contoh (few-shot)
Beri satu atau dua contoh soalan gaya anda sendiri. Ini menyelesaikan masalah “soalan AI nampak macam soalan AI”.
Berikut dua contoh soalan yang saya biasa guna: 1. [tampal soalan sebenar anda] 2. [tampal soalan sebenar anda] Perhatikan gaya, panjang ayat dan konteks tempatan yang saya gunakan. Hasilkan 8 soalan lagi dengan gaya yang SAMA untuk topik [X].
Teknik 5: Pembezaan tiga aras automatik
Tukarkan lembaran kerja ini kepada tiga versi: Versi A (sokongan): ayat lebih pendek, ada petunjuk separa, glosari 5 istilah. Versi B (teras): seperti asal. Versi C (lanjutan): tambah satu soalan aplikasi terbuka dan satu tugasan penilaian. Kekalkan nombor soalan yang sama merentas ketiga-tiga versi supaya saya boleh menanda serentak.
Teknik 6: Analisis pengganggu
Untuk setiap soalan objektif, pastikan setiap pengganggu mewakili SATU salah faham murid yang spesifik. Selepas setiap soalan, terangkan dalam satu ayat: murid yang memilih pilihan ini kemungkinan besar salah faham tentang apa.
Item pentaksiran mengikut aras pemikiran
| Aras (Bloom) | Kata kunci arahan | Cadangan nisbah |
|---|---|---|
| Mengingat | Nyatakan, senaraikan, labelkan | 20% |
| Memahami | Terangkan, ringkaskan, bezakan | 25% |
| Mengaplikasi | Kira, gunakan, selesaikan | 25% |
| Menganalisis | Bandingkan, kelaskan, kenal pasti pola | 15% |
| Menilai | Nilaikan, kritik, wajarkan | 10% |
| Mencipta | Reka bentuk, cadangkan, bina | 5% |
Bina 20 item pentaksiran untuk topik [X] Tingkatan [Y] dengan taburan: 20% mengingat, 25% memahami, 25% mengaplikasi, 15% menganalisis, 10% menilai, 5% mencipta. Susun dalam jadual: No | Item | Aras Bloom | Standard Pembelajaran | Jawapan | Markah. Selepas jadual, senaraikan tiga item yang anda rasa paling sukar dan terangkan mengapa.
Menjana rubrik yang boleh digunakan
Bina rubrik analitik 4 aras untuk tugasan pembentangan lisan Tingkatan 3. Syarat: - Maksimum 4 kriteria sahaja. - Setiap deskriptor mesti menerangkan tingkah laku yang BOLEH DIPERHATIKAN, bukan sifat abstrak. Elakkan “baik” atau “memuaskan” tanpa penjelasan. - Panjang setiap deskriptor tidak melebihi 25 patah perkataan. - Sertakan agihan markah yang berjumlah 100.
Menyokong murid pelbagai keupayaan
| Keperluan murid | Cara Gemini boleh membantu |
|---|---|
| Murid lemah membaca | Tulis semula teks pada tahap bacaan lebih rendah; jana glosari bergambar |
| Murid tertinggal pelajaran | Video Overview atau Audio Overview daripada nota kelas |
| Murid cemerlang | Soalan lanjutan terbuka, tugasan penyelidikan mini, cabaran silang topik |
| Murid perlukan latih tubi | Kad imbasan daripada nota kelas sendiri; kuiz berulang tanpa had |
| Murid bahasa pengantar kedua | Versi dwibahasa bahan; sari kata terjemahan dalam Meet |
| Murid pendiam dalam kelas | Soalan refleksi bertulis melalui Forms dengan ringkasan AI |
Jangan sekali-kali memasukkan nama penuh murid, nombor kad pengenalan, markah individu yang boleh dikenal pasti, laporan disiplin atau maklumat kesihatan ke dalam mana-mana alat AI. Gunakan sebutan generik: “seorang murid Tingkatan 3 yang lemah dalam pecahan”.
Jana melalui Gemini Notebook
Selain menjana peta minda dan slaid, fungsi Infografik dalam panel Studio Gemini Notebook boleh diubah suai menjadi lembaran kerja yang lengkap untuk murid. Muat naik nota atau sumber rujukan, kemudian gunakan arahan custom untuk meminta Gemini menyusun satu helaian visual dengan ruangan latihan, jadual perbandingan dan soalan objektif.

- Pilih format Infografik di panel Studio, kemudian tekan Customise.
- Nyatakan secara spesifik: “Jadikan satu helaian lembaran kerja murid dengan nota padat, jadual perbandingan dan 10 soalan objektif.”
- Sesuaikan gaya visual mengikut aras murid, contohnya guna ikon dan warna lembut untuk murid lemah, atau format padat untuk ulang kaji peperiksaan.
- Eksport sebagai PDF atau gambar, kemudian tampal ke Google Docs/Slides untuk penyuntingan akhir sebelum cetak.
Jana kuiz secara terus daripada sumber
Gemini Notebook juga membolehkan kita menjana kuiz secara terus berdasarkan sumber yang diberikan. Cukup muat naik nota, petikan buku teks atau pautan video, kemudian pilih format Kuiz di panel Studio. AI akan menghasilkan soalan aneka pilihan berserta pilihan jawapan dan penjelasan, semuanya dirujuk semula kepada sumber asal.

Jika anda mahu eksport kuiz yang dijana ke aplikasi lain, boleh gunakan Chrome Extension yang telah disediakan di nlmexporter.keeman.app. Ekstensi ini membantu menyalin soalan dan pilihan jawapan ke format yang boleh tampal terus ke Google Forms, Quizizz, Kahoot atau aplikasi kuiz kegemaran anda.
Semakan kualiti menggunakan kaedah 3S
| Saringan | Soalan yang guru mesti tanya |
|---|---|
| SAHIH | Adakah fakta, formula, tarikh dan istilah ini betul? Boleh saya sahkan sendiri? |
| SESUAI | Adakah ia selaras dengan DSKP, tahap murid saya dan konteks Malaysia? |
| SELAMAT | Adakah bebas daripada data peribadi murid, isu hak cipta, bias dan kandungan sensitif? |
Peraturan praktikal: jika anda tidak mampu mempertahankan sesuatu output di hadapan ibu bapa atau nazir, jangan gunakannya.
Aktiviti 3: Bina set pentaksiran lengkap
0/6 langkah siap20 minit · individu. Gunakan topik yang anda akan ajar dalam dua minggu akan datang.
Perkongsian: minta 2 peserta berkongsi apa yang GAGAL, bukan apa yang berjaya. Kesilapan yang dikongsi lebih bernilai.
Tandakan supaya kemajuan anda tersimpan dalam pelayar ini.
